Wednesday, December 22, 2010

KETAHUI APA ITU PUKAU?

Menurut kamus dewan, pukau bermaksud jampi serapah yang digunakan untuk memabukkan seseorang atau membuatkan orang tidur lelap _ tidak dapat berkata-kata atau berbuat apa-apa kerana sedang menjadi sasaran jampi. Apabila ditambah imbuhan ‘ter-‘ ia menjadi terpukau dan membawa maksud terpedaya, kaku dan tertidur oleh perbuatan si pemukau.

            Hipnosis pula bermaksud keadaan tidak sedar yang menyebabkan seseorang kelihatan seperti tidur tetapi masih boleh mendengar, melihat atau memahami perkara tertentu yang diajukan kepadanya oleh orang yang menguasai mindanya ketika itu. Hipnotis pula bermaksud orang yang menggunakan hipnosis atau pengamalnya.
            Daripada maksud di atas jelas menerangkan bahawa pukau merupakan suatu ilmu atau teknik yang digunakan untuk membuatkan orang tidur lebih nyenyak daripada biasa, kelu lidah untuk berkata-kata, mengantuk secara tiba-tiba, menurut segala kemahuan dan akhirnya terpedaya.
            Berdasarkan perkataan PUKAU itu sendiri menjelaskan maksud setiap hurufnya tersembunyi di sebaliknya. ‘P’- pujukan, ‘U’- ungkapan, ‘K’- kata-kata, ‘A’- ayat azimat, dan ‘U’- umpan. Jika disusun perkataan-perkataan itu, maksud pukau bolehlah diterjemahkan sebagai ‘Teknik menggunakan daya pujuk, ungkapan, kata-kata, dan ayat-ayat azimat sebagai umpan’. Si pemukau kebiasaannya akan menggunakan pujuk rayu yang mampu melemahkan jiwa dan minda mangsanya dengan ungkapan dan kata-kata yang amat manis dan menusuk. Ditambah lagi dengan ayat-ayat azimat (samada berupa jampi serapah, arahan atau lain-lain) yang dikatakan mampu membuat orang terlena dan kelu serta kaku dan menuruti segala kemahuan.
            Percayakah anda bahawa dalam kehidupan seharian, teknik pukau atau hipnosis digunakan oleh semua lapisan masyarakat baik kecil, remaja maupun dewasa. Cubalah anda perhatikan seorang ibu memujuk anaknya supaya berhenti menangis. Setelah puas memujuk akhirnya anak itu diam dan menuruti kehendaknya. Secara tidak langsung proses pukau telah berlaku di situ iaitu dengan menggunakan daya pujukan yang amat berkesan.
Selain itu, saya sendiri masih ingat lagi pada zaman kanak-kanak saya, di mana kawan saya mengajak bertukar barang permainan. Barang permainan saya berupa robot yang besar dan kawan saya ingin menukarkannya kepada sebungkus permainan berupa askar, kereta dan raksasa yang semuanya kecil-kecil. Tanpa berfikir panjang saya pun setuju buat pertukaran. Bila dah sampai rumah baru menyesal sebab permainan robot lebih menarik. Kalau dah tukar mana boleh ambil semula.
            Ingatkah anda pada filem Tan Sri P.Ramli berjudul ‘Nujum Pak Belalang’. Walaupun hanya sekadar cerita dongeng tetapi mesej yang disampaikan amat bermakna. Cuba anda lihat bagaimana Pak Belalang meyakinkan penghulu dan dua orang penternak kambing dan lembu untuk melihat bayangan haiwan-haiwan yang dicuri itu di dalam balang/mangkuknya. Dari mula lagi mereka bertiga memerhati dengan penuh rasa ingin tahu dan penuh harapan. Apabila melihat dalam balang hasilnya tak nampak apa-apa. Cuma satu saja ayat yang Pak Belalang gunakan untuk memperdayakan mereka iaitu “Menurut amalan hamba, barang siapa yang tidak nampak, dia anak luar nikah”. Oleh kerana takut dan malu disangka anak luar nikah, elok mengaku nampak saja.
            Bukan itu saja, pernahkah anda melihat situasi perubatan bomoh yang menggunakan kekuatan hembusan atau tiupan untuk menidurkan pesakitnya. Rata-rata yang saya jumpa bomoh yang menggunakan teknik ini ada hubungkait dengan jin yang kononnya roh wali dimasukkan ke dalam tubuh pesakit untuk merawatnya. Saranan yang disampaikan oleh bomoh kepada pesakitnya mampu melumpuhkan sistem tubuh badan pesakit dan mengawal minda bawah sedar pesakit untuk melakukan apa yang disuruh. Pesakit biasanya tidak akan sedarkan diri selagi si pemukaunya masih berada di hadapan dan tidak memulihkan keadaannya. Kebiasaannya teknik ini lebih kepada penggunaan jampi serapah atau mentera pemujaan yang dipercayai untuk meminta bantuan jin menguasai pesakit atau orang yang dikehendaki.
            Kesimpulannya, ilmu pukau dibahagikan kepada dua iaitu yang pertama menggunakan kata-kata yang ‘power’ (the power of word). Kaedah ini telah lama diamalkan dan dipelajari oleh orang-orang di negara barat.
Kedua ialah menggunakan jampi serapah yang ada hubungkaitnya dengan jin atau khodam. Kedua-dua kaedah ini masih lagi digunakan oleh pemukau-pemukau pada zaman ini. Ada yang menggunakannya untuk jalan kebaikan dan ada yang menggunakannya ke jalan kejahatan. Di negara barat seperti Afrika, masih mengamalkan pemujaan semangat roh nenek moyang mereka yang kononnya mampu membantu mereka mendapat sesuatu dengan pukau.


Sila Layari www.syahadah.net

No comments:

Post a Comment